PEMILIK rumah, Tuan Zuhri Amran Tuan Zakaria, 53 menunjukkan lubang kumbahan yang mengorbankan Nor Arisya Abdullah, 5, yang ditemui lemas di Batu 5, Jalan Kuantan- Gambang. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“JANGAN baling batu dan kayu di lubang kumbahan tu.”

Itu teguran Wan Zahirah Anisa Tuan Zuhri Amran, 15, kepada lapan kanak-kanak yang bermain di kawasan lubang kumbahan di rumah neneknya di Kampung Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, selepas melihat gelagat nakal kumpulan itu yang tidak menyenangkannya.

Kejadian kira-kira 6 petang itu menyebabkan Nurarisha Abdullah, 5, ditemui lemas selepas terjatuh di dalam lubang kumbahan berkedalaman kira-kira enam meter.

Menurut Wan Zahirah Anisa, dia melihat kumpulan kanak-kanak itu melontarkan kayu dan batu ke dalam lubang kumbahan di belakang rumah neneknya sebelum menegur mereka.

Katanya, selepas ditegur mereka tidak lagi melakukan perbuatan nakal itu dan beredar beberapa minit kemudian.

“Masa itu saya tidak terlintas untuk pergi lihat keadaan lubang kumbahan dan terus beredar.

“Kemudian saya diberitahu terdapat kanak-kanak perempuan hilang dan orang ramai sedang sibuk mengesannya.

“Beberapa jam kemudian mayatnya ditemui di dalam lubang kumbahan rumah nenek,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Dalam kejadian itu, mayat Nurarisha ditemui orang ramai kira-kira 9 malam sebelum anggota bomba dan penyelamat dipanggil ke lokasi kejadian.

Mangsa berjaya dibawa keluar pasukan penyelamat sebelum mayat diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu bapa Wan Zahirah Anisa, Tuan Zuhri Amran Tuan Zakaria, 53, berkata, dia menghubungi talian kecemasan 999 selepas dimaklumkan mengenai penemuan mayat kanak-kanak di dalam lubang kumbahan di rumah ibunya.

“Memang kebiasaan ramai kanak-kanak bermain di halaman rumah ibu saya dan mereka tidak pernah ke belakang.

“Lubang kumbahan itu sentiasa ditutup dan tidak pernah mereka bermain di situ. Saya tidak tahu kenapa tiba-tiba mereka bermain di kawasan itu,” katanya.

Beliau mendakwa penutup lubang kumbahan itu berkemungkinan diangkat kumpulan itu sebelum mangsa jatuh.

Berita berkaitan

Budak lemas jatuh lubang kumbahan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 11:48 AM