Hasbi Sidek dan Nurul Fhatihah Zakinan


DUA ahli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing di Seremban dan Melaka, ditahan polis, hari ini.

Bagaimanapun, media belum mendapat maklumat terperinci berhubung penahanan kedua-dua individu berkenaan.

Di Seremban, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran ditahan sepasukan polis dari Bukit Aman, di rumahnya di Kampung Baru Rahang, pagi tadi.

Pada serbuan kira-kira 10 pagi itu, polis turut melakukan penggeledahan di kediaman berkenaan.

Selain itu, polis turut melakukan pemeriksaan di pejabat individu itu di Taman Seremban Jaya.

P Minnal Veeran, adik kepada Gunasekaran, yang berada di rumah ketika ditahan mengesahkan tangkapan berkenaan.


GAMBAR HIASAN

“YB (Gunasekaran) dipercayai ditahan di bawah SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 20120,” katanya.

Sementara itu, seorang ADUN yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Melaka, ditahan pihak polis, di Melaka, pagi ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari dalam sidang media mesyuarat EXCO, di Seri Negeri, di Melaka.

“Ada maklumat seorang EXCO ditahan pihak polis Bukit Aman. Secara dasar kerajaan negeri akan berurusan dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat punca beliau ditahan.

“Saya yakin, Yang Berhormat (EXCO berkenaan) akan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan,” katanya.

Bagaimanapun, Adly tidak dapat menjelaskan punca EXCO berkenaan ditahan.

Menurut sumber, dipercayai ADUN DAP berkenaan ditahan dan digari di pejabat beliau sendiri, kira-kira 8.45 pagi tadi di Seri Negeri.

Beliau dipercayai ditahan kerana terbabit memperingati upacara perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 1:35 PM