Kakitangan JKKP Perak menjalankan siasatan susulan kematian warga emas kelmarin. FOTO Ihsan JKKP
Mohd Hafizee Mohd Arop


WARGA emas berusia 64 tahun maut selepas sebuah jentolak mengundur dan merempuh mangsa di sebuah kilang kelapa sawit di Bota, Seri Iskandar kelmarin.

Dalam kejadian 8.50 pagi itu, Chai Ming Poi yang datang ke kilang berkenaan untuk membeli sisa buangan kelapa sawit parah.

Difahamkan, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Changkat Melintang sebelum dipindahkan ke Hospital Seri Manjung dan disahkan meninggal dunia pada 4.50 petang.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) Perak, Zamzurin Maarof berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan di lokasi mengeluarkan lapan notis larangan kepada pemilik premis membabitkan kegagalan memastikan lapan jentolak diselenggara dengan baik.

Katanya, selain itu, JKKP Perak turut mengeluarkan lima notis pembaikan kepada pemilik selain diminta mengadakan sistem kerja selamat bagi pengurusan trafik dan taklimat keselamatan kepada pihak luar.

“Tanggungjawab majikan bukan hanya memastikan pekerja bekerja dengan selamat dan sihat malah perlu memastikan orang lain selain pekerja tidak terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan akibat aktiviti yang dijalankan.

“Selain itu, majikan perlu memastikan maklumat berkaitan keselamatan dan kesihatan untuk pengetahuan orang lain selain pekerja yang mungkin terdedah kepada risiko ketika pekerja bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamzurin berkata, tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab jika terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 2:33 PM