Fairul Asmaini Mohd Pilus


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancar dan mencemar duli menaiki perkhidmatan tren elektrik terbaru Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), ETS2 dari ibu negara ke Ipoh, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, menaiki ETS2 dari Stesen Kereta Api Kuala Lumpur (KLO) menuju ke Stesen Kereta Api Ipoh.

Turut mengiringi baginda, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi KTMB, Datuk Dr Rameli Musa.

Dalam perjalanan itu, baginda dijadualkan diberi taklimat mengenai keselamatan dan keadaan landasan.

Selain itu, baginda dan rombongan juga diberi taklimat mengenai operasi ETS, kemajuan kereta api di Malaysia dan pembangunan Ipoh Sentral serta Hotel Majestic.

Sementara itu, perkhidmatan koc kelas perniagaan ETS2 turut diperkenalkan kepada umum bermula esok.

Koc kelas perniagaan eksklusif itu adalah salah satu daripada enam gerabak ETS2 direka khas, sebagai pilihan untuk penumpang yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren berkenaan.

Ia dilengkapi kemudahan kondusif seiring jenama kelas perniagaan termasuk tempat duduk luas, selesa berbanding koc biasa serta perkhidmatan pramugara dan pramugari.

Selain itu, penumpang dalam gerabak itu juga akan ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan, Audio Video-On-Demand (AVoD) serta port USB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 2:46 PM
SULTAN Nazrin dan Tuanku Zara mencemar duli menaiki ETS2 ke Ipoh, hari ini. FOTO Salhani Ibrahim