Antara warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah kilang di Machap. FOTO Ihsan Pejabat EXCO


PADAH mencemarkan udara dan air, sebuah kilang sisa elektronik di Machap, Johor Bahru bukan saja diarahkan tutup dengan bekalan elektrik serta air dipotong malah pelbagai barangan disita serta 107 pekerja asing ditahan Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, bertindak atas aduan ramai sebuah kilang sisa elektronik melakukan pencemaran udara dan air, pihaknya menjalankan operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi kerajaan.

“Operasi diketuai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), SWMCorp (SWM) dan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) untuk mengenal pasti dakwaan penduduk.

“Hasilnya, kami dapati kilang itu melakukan proses peleburan logam namun tidak mengikut prosedur ditetapkan.

“Mereka membuang air kotor ke dalam saliran yang kemudiannya mencemarkan sungai berhampiran.

“Selain itu, disebabkan tidak melakukan proses dengan betul, ia menghasilkan bahan toksik yang dibebaskan ke udara menyebabkan bau busuk dan mencemarkan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu katanya, MDSR mengemukakan pemakluman tindakan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya memotong bekalan elektrik manakala JAS menyita semua sisa elektrik dan elektronik premis serta peralatan kawalan pencemaran.

Katanya, JAS turut menyediakan kertas siasatan untuk tindakan perundangan selepas ini.

“Pada masa sama, JIM menahan 107 pekerja premis itu terdiri daripada pendatang asing tanpa izin.

“Selain itu, BAKAJ mengambil tindakan menghentikan bekalan air ke premis sama,” katanya.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Notis Penahanan Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) akta sama dan Peraturan-peraturan Imigresen.

Berikutan itu katanya, semua pemilik premis sisa elektrik dan elektronik di negeri itu diminta mengambil perhatian dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan agensi penguatkuasaan akan dilaksanakan bagi memastikan tiada aktiviti melanggar undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 3:06 PM