Latheefa Koya menyatakan senarai mereka yang dikenakan kompaun belum muktamad. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hairulazim Mahmud


“ITU senarai yang menerima jumlah RM500,000 dan ke atas,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.

Malah katanya, senarai mereka yang dikenakan kompaun berkenaan belum muktamad.

Latheefa berkata, pendekatan SPRM adalah mengutamakan penerima jumlah yang lebih besar.

“Kriterianya adalah jumlah wang terbabit dan bukan perkara lain.

“Suruhanjaya ini akan mengambil tindakan secara rapi dan teratur serta akan terus mengambil langkah mendapatkan balik wang 1MDB (1Malaysia Developement Bhd) yang juga milik rakyat, secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya SPRM menggugurkan nama Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada senarai 80 individu dan entiti berkenaan.

Isnin lalu SPRM mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Individu dan entiti yang menerima kompaun itu diberi tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.

Secara purata individu terbabit menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta, sementara entiti terbabit menerima wang sehingga RM134 juta.

Berita berkaitan

Hanya bantu abang kempen - Nazir Razak

Ahmad Maslan nafi terima wang 1MDB

1MDB: Nazir Razak individu terima dana terbanyak

1MDB: 80 individu, entiti dapat notis kompaun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 3:24 PM