MOHD Firdaus dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai pelesenan MPS, Mei lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman.


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai Pegawai Penguat Kuasa Pelesenan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Firdaus Zahari, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret V Vanita selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menyamar sebagai pegawai Penguat Kuasa Pelesenan MPS kepada Mohd Najib Mohd Nor, 32, pada 10 pagi 10 Mei lalu di bangunan MPS di Forest Height, Seremban.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 Oktober ini.

Terdahulu, tertuduh turut berdepan dengan pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen membabitkan wang tunai RM3,320 terhadap mangsa sama yang dilakukan pada 4.30 petang pada tarikh sama, di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Senawang.

Bagi kesalahan itu, lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat serta denda.

Peguam A Parthiban merayu anak guamnya diberikan jaminan rendah kerana bapanya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 selain perlu menanggung empat anak.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dan sebutan semula kes pada 8 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 3:41 PM