FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


PADAH merompak telefon bimbit milik seorang wanita, gelandangan dihukum penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Anuar Mohd Idris ,32, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula pada tarikh tangkap 22 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompak ke atas Ileya Nadhira Mohd Zahir, 26, yang bekerja sebagai penganalisis data dengan merampas telefon bimbit milik mangsa di tepi Jalan Melaka, Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada 9.30 malam, 21 Jun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Mohd Anuar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan ini berlaku di tempat awam.

“Sewaktu kejadian berlaku, tertuduh telah menggunakan kekerasan dan kesalahan ini dilakukan terhadap wanita di tempat awam.

“Jadi saya memohon hukuman setimpal dapat diberikan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 3:45 PM