TOMMY Thomas. FOTO Arkib NSTP
Sarah Zulkifli


PEGUAM Negara Tan Sri Tommy Thomas sudah menyerahkan afidavit balasan dalam permohonannya untuk menggantung prosiding perbicaraan komital (menghina mahkamah) yang difailkan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim berhubung inkuiri kematian anaknya.

Peguam Mohd Haniff Katri Abdulla yang mewakili bapa Muhammad Adib berkata, afidavit balasan itu diserahkan oleh wakil Peguam Negara kepada pihaknya pada Selasa lalu.

“Afidavit balasan itu dilakukan melalui serahan ke pejabat Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate pada 8 Oktober lalu.

“Pihak kami kini dalam proses mengkaji afidavit yang diserahkan oleh beliau (Tommy) dan akan memfailkan afidavit semula jika ada keperluan,” katanya.

Menurut Mohd Haniff, jika tiada apa-apa lagi afidavit, kedua-dua pihak akan berhujah berhubung permohonan penangguhan prosiding komital dihadapi Peguam Negara di mahkamah pada 21 Oktober ini 2.30 petang.

Pada prosiding Isnin lalu, Mahkamah Koroner dimaklumkan Peguam Negara belum membuat keputusan sama ada memberikan keterangan di dalam kandang saksi ataupun melalui afidavit.

Perkara itu hanya akan diketahui sebelum perbicaraan prosiding komital terhadap Peguam Negara itu bermula.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:35 PM