ANTARA individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan pengganas LTTE. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menafikan bersikap rasis dan perkauman berhubung isu penahanan tujuh individu disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan mereka kerana tidak mahu Malaysia menjadi pusat untuk aktifkan kembali LTTE.

Menurutnya, pihak tertentu diminta tidak mengeksploitasi isu itu sebagai perkauman kerana polis konsisten dalam menahan kumpulan pengganas.

“Kenapa sebelum ini tidak pertikai kita tangkap (individu dikaitkan) Daish dan Sikh for justice (SFJ)... Kenapa tangkap LTTE dari satu kaum, kita cuba bawa isu perkauman.

“Apa tujuan ingin promosi LTTE sedangkan di Sri Lanka pun mereka dah kalah di sana... adakah mahu perjuangkan wilayah di Malaysia?

“Lagipun ada banyak lagi negara yang menyenaraikan mereka sebagai pengganas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Ayob Khan berkata, seramai 284 suspek terbabit dengan Jemaah Islamiyah (JI), 512 suspek Daish dan 25 ahli LTTE sudah pun ditahan sejak 2009.

“Tiada isu pilih kasih ataupun perkauman timbul kerana sebarang usaha yang dilihat boleh menggugat keselamatan negara, kami akan mengambil tindakan.

“Polis akan terus memantau pergerakan kumpulan ini bagi memastikan ia tidak berkembang, malah tangkapan susulan akan dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:26 PM