Anggota bomba menyelamatkan 39 pendaki yang terkandas di Gunung Sarok. FOTO Ihsan JBPM
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEKUMPULAN 39 pendaki dari Pejabat Kesihatan Pergigian Hulu Terengganu berdepan detik cemas apabila terkandas di Gunung Sarok, Permaisuri hari ini berikutan hujan lebat.

Difahamkan kumpulan itu terdiri daripada sembilan lelaki dan 30 wanita mula mendaki gunung itu pagi tadi dan dalam perjalanan turun semula petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Penolong Penguasa Bomba Zull Azman Jamaludin berkata, bagaimanapun hujan lebat menyebabkan kumpulan pendaki itu gagal turun apabila paras air di dua daripada tiga jeram naik mendadak berikutan hujan lebat.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima panggilan 3.38 petang mengejarkan 11 anggota dan pegawai dengan satu pacuan empat roda, satu ambulans Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan satu jentera ke lokasi.

“Kedudukan lokasi agak jauh dan pasukan bomba dari BBP Setiu mengambil masa hampir sejam untuk tiba di tempat kejadian.

“Sebaik tiba di situ, tujuh daripada 11 pegawai dan anggota naik ke atas gunung untuk membantu membawa turun mangsa yang terkandas di Jeram Berlumpur berikutan paras air naik sehingga melebihi paras pinggang serta arus deras dan membahayakan.

“Pasukan penyelamat kemudian menggunakan teknik ‘water crossing’ dan kumpulan pendaki itu meredah jeram dengan bantuan tali sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan turun memerlukan pasukan penyelamat dan kumpulan pendaki itu meredah dua jeram yang paras airnya tinggi dan naik mendadak kerana hujan lebat.

“Kita mengambil masa kira-kira sejam untuk menjalankan kerja menyelamat dan operasi tamat 6.30 petang,” katanya.

Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku, namun ada peserta mendaki yang panik kerana kali pertama menempuh pengalaman sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 9:09 PM