CHE Adam (kanan) memberi penerangan mengenai langkah keselamatan kepada Abdul Rahman (tengah) dan Mat Harun ketika meninjau lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“WALAUPUN buaya tembaga itu jinak, orang ramai tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Beliau ditemui ketika meninjau lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus yang menjadi habitat seekor buaya tembaga sepanjang hampir empat meter dipanggil Mamat atau panggilan manjanya ‘Adik Mat’, hari ini.

Tinjauan dijalankan APM itu susulan tular gambar dan video berdurasi 14 saat dimuat naik di media sosial mengenai kemunculan semula buaya berkenaan di lombong tinggal itu sejak semalam.

Che Adam berkata, dia difahamkan sejak tular gambar dan video kemunculan semula buaya jinak di situ, kawasan lombong tinggal itu kian menjadi tumpuan orang ramai terutama pada waktu petang.

“Pada setiap petang lebih 20 pengunjung akan datang ke situ semata-mata ingin melihat Adik Mat diberi makan oleh penduduk secara terbuka dan ia sangat memberi risiko kepada mereka.

“Memang tidak dinafikan buaya itu jinak dan sejak ditemui pada 2016, ia tidak pernah mengancam atau mencederakan pengunjung, bagaimanapun orang ramai tidak boleh terlalu percaya sehingga mengabaikan keselamatan diri.

“Mereka berani menyentuh dan berada terlalu hampir dengan buaya itu sedangkan haiwan liar seperti itu tidak berakal dan sifat semula jadinya ganas serta boleh menyerang pada bila-bila masa, ” katanya.

Che Adam berkata, dia berharap orang ramai mengutamakan keselamatan dan sebaiknya tidak mengambil risiko untuk berada terlalu hampir dengan buaya berkenaan.

Katanya, walaupun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak mengeluarkan arahan terbaru mengenainya, APM sentiasa bersiap sedia untuk memberikan bantuan kecemasan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini di kawasan itu.

“Kami akui sukar untuk melarang orang ramai daripada berkunjung ke lombong berkenaan untuk melihat Adik Mat kerana rata-rata pengunjung berasa teruja untuk melihat buaya liar yang jinak di habitat asal itu.

“APM berharap mereka menjaga keselamatan dan usah terlalu berani bermain dengan haiwan pemangsa itu,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Abdul Rahman Harun, 57, dari Kampung Gomok Tepuh berkata, buaya tembaga ditemui dan diberi makan penduduk di kawasan lombong berkenaan sejak 2016.

“Adik Mat pernah menghilangkan diri seketika pada September 2017 hingga 2018 apabila tidak muncul di lombong berkenaan dan ditemui timbul di Sungai Nerus.

“Bagaimanapun, Adik Mat kembali semula ke lombong tinggal itu pada akhir 2018 sehingga sekarang, cuma sejak akhir-akhir ini ia semakin jinak sehingga videonya berenang di lombong menjadi tular.

“Semua pihak termasuk Perhilitan sudah sedia maklum mengenai Adik Mat, buaya itu tidak mengancam manusia dan sangat jinak kerana penduduk sering memberinya makan.

“Setiap petang sebanyak dua kilogram kepala dan organ dalaman ayam disediakan untuk Adik Mat,” katanya.

Menurutnya, penduduk bekerjasama secara sukarela menjaga dan memberikan buaya itu makan.

Katanya, berikutan itu, buaya itu dianggap sebagai haiwan peliharaan penduduk.

“Pernah pemburu buaya dari Thailand ingin menangkap buaya itu pada 2017 tetapi penduduk sepakat menghalangnya.

“Kejadian itu membuatkan kami saling memantau kawasan lombong terbiar itu pada setiap masa bagi mengelakkan aktiviti pemburuan haram dijalankan di kawasan terbabit,” katanya.

Mat Harun Abu Bakar, 66, dari Kampung Padang Hangus berkata, buaya tembaga itu semakin besar berbanding tiga tahun lalu.

“Saya terkejut melihat saiz Adik Mat sekarang, ia besar dan nampak menakutkan, namun buaya itu tidak menunjukkan tanda liar yang boleh mengancam keselamatan orang ramai menghampirinya.

“Tiada masalah jika Adik Mat terus dibiarkan bebas di sini,” katanya.

Berita berkaitan

'Pok Man Buaya rindu 'Adik Mat''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 9:14 PM