MUHAMMAD Danial (dua dari kanan) bersama datuk dan nenek serta adik beradiknya di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun. FOTO Rosli Ilham.


“ALHAMDULILLAH, dua adik saya, Muhammad Danish Irfan, 11, sudah sedar dan buka mata manakala Muhammad Darwish Iqbal, 9, dibenarkan keluar wad hari ini,” kata Muhamad Danial, 12, yang tidak sabar menanti kepulangan mereka.

Kedua-dua adiknya itu parah di bahagian kepala dalam kemalangan di Jalan Felda Kerteh 2/3, pada 4 Oktober lalu, menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Kemalangan pada 11.10 pagi itu mengorbankan kedua ibu bapa mereka, Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, Norhapisah Idris, 34.

Kejadian menyebabkan mereka bertiga serta empat lagi adik, Muhammad Dhiyauddin Aiman, 8, Muhammad Daim Amin 6, Muhammad Dhiya Arsyad, 5 dan Dayyinah Athirah, 3, menjadi yatim piatu.

Muhammad Danial berkata, dia dimaklumkan datuknya, Idris Abdullah, 74, bahawa Muhammad Danish yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi ICU di HSNZ sudah sedar dan dapat membuka mata, hari ini.

“Bagaimanapun dia masih tidak mampu bercakap. Saya dimaklumkan Muhammad Darwish sudah dibenarkan keluar wad dan bapa saudara dalam perjalanan membawanya pulang ke kampung.

“Saya bersyukur dan sentiasa berdoa supaya dua adik itu cepat sembuh serta tak sabar nak bermain dengan mereka,” katanya.

Dia ditemui ketika menerima sumbangan daripada Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Dungun, Afizah Aziz, di rumah datuknya di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, hari ini.

Menurutnya, dia tidak dapat melupakan pesanan terakhir ibunya supaya menjaga adiknya dan pesanan itu masih diingati sehingga saat ini.

“Pesanan ibu itu akan saya ingat sampai bila-bila dan saya akan jaga semua adik dengan baik,” katanya.

Muhammad Danial berkata, dia berterima kasih kepada datuk dan neneknya, Habsah Chik, 71, yang sudi menjaga dia bersama adik-beradiknya.

Katanya, dia bersama adik-beradiknya masih kecil dan nakal, jadi dia meminta nenek dan datuk supaya bersabar melayan kerenah mereka.

“Atuk dan nenek faham dan berjanji akan jaga kami semua dengan baik.

“Saya bersama Muhammad Dhiyauddin yang kini belajar di Sekolah Kebangsaan Sura serta Muhammad Dhiya Arshad yang belajar di Tadika Kemas Sura bersetuju untuk bertukar sekolah di kampung datuk,” katanya.

Menurutnya, permohonan pertukaran mereka sudah diluluskan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun dan akan mula belajar di sekolah baru, Ahad ini.

Katanya, Muhammad Danish Irfan dan Muhammad Darwish Iqbal tak perlu tukar kerana mereka sudah bersekolah di kampung datuknya itu.

Berita berkaitan

'Kami tetap jaga tujuh cucu'

Terkilan tak sempat hantar makanan

[UPDATE] 'Ibu pesan jaga adik di rumah'

'Hilang kasih ibu dan ayah'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 10:17 PM