Khairul Najib Asarulah Khan


ENAM puluh lima penduduk terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka terjejas kerana tanah runtuh di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala, Kuala Lumpur malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tanah runtuh di berhampiran pangsapuri itu pada 9.08 malam.

"Seramai enam anggota bomba dan 13 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) bersama sebuah jentera yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Ismail, Mohd Zuhair Faisal Zulkifli ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba 10 minit kemudian, dikesan terdapat tanah runtuh di belakang pangsapuri terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pansapuri yang mempunyai 24 unit kediaman membabitkan 65 penghuni sudah tidak selamat diduduki dan mereka terpaksa dipindahkan sementara ke Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail," katanya.

Menurutnya, operasi itu turut membabitkan anggota BBP Cheras, BBP Keramat dan dibantu pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, pihak polis juga ada membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian dan operasi ditangguhkan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 1:47 AM
Keadaan runtuhan tanah di tepi pangsapuri Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala, Kuala Lumpur malam tadi. Foto Ihsan JBPM