SANTON menjaga adiknya, Supie yang menghidap Parkinson serta bengkak usus.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

TAIPING: Biarpun terpaksa berulang-alik ke klinik setiap hari untuk mencuci luka di kaki sejak dua tahun lalu, wanita warga emas, Santon Salamoon, 66, tetap menggalas tanggungjawab menjaga adiknya yang sakit di Kampung Sungai Relong, Kamunting.

Santon menjaga adik kandungnya, Supie Salamoon, 56, yang menghidap Parkinson selain mengalami bengkak di bahagian usus sehingga membataskan pergerakan.

Lebih memeritkan apabila kedua-dua beradik itu kini tidak mampu bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan suami kepada anak angkatnya, Yusri Basri, 42.

Yusri bekerja sebagai pembawa tong gas dengan pendapatan antara RM50 ke RM60 sehari.

Anak angkat Santon, Rosmawati Mat Sahat, 39, tidak bekerja, sekali gus membuatkan Yusri pencari nafkah tunggal keluarga itu yang kini tinggal sebumbung selain harus menyara empat anak berusia setahun hingga 13 tahun termasuk tiga yang bersekolah.

Santon berkata, semuanya bermula apabila Supie yang masih bujang disahkan menghidap Parkinson sejak lima tahun lalu hingga terpaksa berhenti kerja sebagai tukang kebun sekolah.

Dia juga terpaksa berhenti kerja sebagai tukang masak restoran kerana perlu ke klinik setiap hari untuk mencuci luka yang masih belum sembuh sejak menjalani pembedahan membuang nanah di kaki kirinya, dua tahun lalu.

“Keadaan Supie bertambah teruk sejak tiga bulan lalu kerana turut mengalami sawan dan sering muntah susulan bengkak di bahagian usus.

“Saya juga terpaksa mengupah anak saudara untuk menghantar ke klinik terletak kira-kira lima kilometer dari sini disebabkan kami tidak mempunyai kereta,” katanya ketika dikunjungi di rumah mereka, kelmarin.

Menurutnya, dia dan adiknya juga tidak layak menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disebabkan polisi majikan sebelum ini yang tidak mencarum kepada pekerja bertaraf kontrak selain melebihi tempoh usia.

“Saya ada memohon dengan Baitulmal namun permohonan ditolak hinggalah mereka berkunjung ke sini.

“Bagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana adik-beradik lain turut membantu selain inisiatif pertubuhan tertentu yang datang menziarahi kami dan menghulurkan keperluan khususnya barang dapur bagi meringankan beban,” katanya.

Nasib keluarga itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk unit tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pasukan 72 Batalion Kor Ordinans Diraja (72 BOD) Kem Kamunting yang melawat rumah Santon serta menyumbangkan barangan dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:31 AM