PENGUAT KUASA MBMB menjalankan pemeriksaan terhadap perusahaan cendawan di Kampung Enam, Bachang.
Rizanizam Abdul Hamid


MELAKA: Pemilik perusahaan cendawan dalam bangunan di Kampung Enam, Bachang di sini, diberi notis untuk menghentikan operasi dan berpindah ke kawasan sesuai dalam tempoh 30 hari berkuat kuasa, semalam.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Low Chee Leong berkata, notis itu dikeluarkan penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang turut menyertai lawatan pemeriksaan ke premis berkenaan bersamanya dan pihak berkuasa berkaitan semalam.

Menurutnya, tindakan itu susulan aduan penduduk Kampung Enam yang mendakwa menjadi mangsa gangguan serangga agas dipercayai berpunca daripada aktiviti perusahaan itu sejak hampir setahun lalu.

“Hasil maklumat diperoleh, saya difahamkan bangunan ini adalah untuk tujuan perniagaan bukannya bagi perusahaan kilang, produk atau memproses cendawan.

“Saya minta Datuk Bandar (MBMB) keluarkan notis tapi saya harap dapat diberi kelonggaran tempoh berpindah kerana ia bukanlah urusan satu atau dua hari untuk berpindah.

“Pengusaha pun berjanji dan dia memang dalam rancangan untuk berpindah bulan ini memandangkan bangunan itu disewa untuk perusahaan cendawan yang dibekalkan ke Pasar Borong Melaka,” katanya.


PEGAWAI Persekitaran daripada Jabatan Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Suzana Md Nasir menjalankan pemeriksaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke premis berkenaan bersama beberapa agensi berkaitan di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Pertanian Melaka, Mohd Rasydan Mohd Yusop dan Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Enam Pun Check Ping.

Mengulas lanjut, Low berkata, pihaknya pernah menerima aduan daripada penduduk kampung terbabit mengenai masalah serangga agas pada Julai lalu.

“Saya akan minta pihak Jabatan Kesihatan negeri membuat siasatan lanjut termasuk mengambil sampel serangga untuk memastikan adakah agas yang menyerang kampung ini berpunca daripada perusahaan cendawan itu,” katanya.


PENGUAT KUASA MBMB mengeluarkan notis terhadap pengusaha cendawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:50 AM