KHAIRUL Anuar menunjukkan kenderaan diubah suai bagi golongan OKU.
Adnan Ibrahim


KLUANG: Seorang mekanik kenderaan cacat berjaya mencipta alat menekan minyak dan brek kereta bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU) yang lumpuh dari pinggang ke bawah memandu kenderaan.

Khairul Anuar Abu Bakar, 44, berkata, inovasi itu dihasilkan melalui pembacaan serta kajian sehingga dia menemui cara sesuai bagi OKU sepertinya memandu kereta.

“Ketika itu, saya mula memikirkan apa yang perlu diubah suai pada kereta ini sehingga ia boleh digunakan tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain,” katanya.

Dia memberitahu dilahirkan normal selain pernah bekerja di sebuah bengkel kereta di Gelang Patah, Johor.

“Namun segalanya berubah apabila saya patah tulang belakang menyebabkan tubuh lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas terbabit kemalangan ketika pulang kerja pada April 2006.

“Mulai detik itu saya hanya mampu duduk di rumah dan tidak lagi boleh bekerja di bengkel kerana hilang upaya walaupun memiliki kereta.

“Ketika itu saya mula memikirkan apa yang perlu dilakukan terhadap kereta ini sebelum ia berjaya diubah suai untuk kegunaan OKU,” katanya dalam Karnival Sayangi Malaysiaku-Masih Ada Yang Sayang anjuran Pertubuhan Kebajikan Tiara Hati Simpang Renggam di Dewan Orang Ramai Renggam, semalam.

“OKU yang lumpuh dari pinggang ke bawah boleh menghubungi saya di talian 019-7466126 bagi berkongsi kaedah ubah suai kenderaan ini,” katanya.


ALAT menekan minyak dan brek diselaras menggunakan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:10 AM