MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Mohd Fadli Hamzah


MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai senarai 566 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan menerima Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan, ketika mengumumkannya berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu adalah penerima tunggal darjah kebesaran tertinggi negeri itu.

Katanya, istiadat penganugerahan berkenaan akan diadakan sebanyak tiga sesi bermula Sabtu ini, diikuti Ahad serta 4 November depan di Balai Istiadat Seri Negeri, di Melaka.

Seramai 13 individu akan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Mereka adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Hasim; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek serta Ahli Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Rashpal Singh.

Turut menerima DGSM, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wira Kamaluddin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker, Datuk Wira Pang Tee Nam; Principal GB Architect, Datuk Wira Giles Bien Chia Hsui; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Amir Hamzah Azizan; Pengarah Lonnix (M) Sdn Bhd, Piong Teck Min; Doktor Pakar Perubatan Gastroenterologi, Hospital Assunta, Datuk Seri Dr Suresh Raj Lachamanan; Pengarah Urusan TOBE Property, Teo Shiok Fu dan Pengerusi One Belt One Road, Tan Thian Lai.

Lapan penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) membawa gelaran Datuk Wira adalah Hakim Mahkamah Tinggi 1 Melaka, Datuk Ahmad Nasfy Yasin; Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir; Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil serta Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Raha Abdul Rahim.

Penerima lain adalah Pengurus Perniagaan City Fair & Amusement, Liau Kim Choon; Pengarah Syarikat Al-Khatiri Sdn Bhd, Datuk Shaikh Abdul Halim Shaikh Salah Marie Al-Khatiri dan Pengarah Bunga Pertiwi Sdn Bhd, Bulwant Singh Shamir Singh.

Seramai sembilan individu menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) membawa gelaran Datuk. Mereka adalah EXCO Pendidikan, Sains, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Noor Effandi Ahmad; EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginnie Lim Siew Lin dan EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee.

Selain itu, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan, Dr Azhari Mohamed; Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Ibrahim Mohamed; Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Ashraf Mukhlis Minghat; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Abdullah Isnin; Pengerusi PKR negeri, Halim Bachik serta Pengerusi Eksekutif G3 Global Berhad, Wan Khalil Wan Muhammad.

Seramai 77 bakal menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Gue Teck; Duta Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar; Pesuruhjaya Tinggi ke Kenya, Loh Seck Tiong; Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Dr Kamarudin Min; Pengarah Hospital Melaka, Dr Hatijah Mohd Tan; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Shamsul Ambia Abdul Aziz;

Hakim Mahkamah Syariah Melaka, Mohd Nadzri Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin; Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Dr Sharazat Ahmad; Pengurus Besar Yayasan Melaka, Ahamad Kamel Ismail serta Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Abd Shukor Mahmood.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 11:02 AM