Daging beku yang dirampas PGA 7 semalam. FOTO Ihsan PGA
Syaherah Mustafa


BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) merampas 1,000 kilogram daging beku dan lori bernilai RM75,000 di Kampung Pohon Tanjung, Pasir Mas semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan itu dilakukan ketika sepasukan anggota membuat rondaan di Jalan Repek di sini, 4.45 petang sebelum menemui sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihaknya, pemandu lori memberhentikan kenderaan dan melarikan diri.

“Pemeriksaan menemui 50 kotak berisi daging beku dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Pasukan kami merampas barang kes dan dibawa ke Balai Polis Bakong di sini, sebelum barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kesalahan ini disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d), Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari berkata, sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.


Sembilan PATI yang ditahan selepas masuk ke negara ini melalui Sungai Golok semalam. FOTO Ihsan PGA

Dalam perkembangan lain, PGA 7 juga menangkap sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Kedap, Rantau Panjang, semalam.

“Pada 4 petang, anggota kami membuat risikan ke atas sekumpulan lelaki dan perempuan yang sedang menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Malaysia yang kemudian menuju ke kawasan semak untuk bersembunyi.

“Hasil pemeriksaan kami dapati tujuh lelaki dan dua wanita terbabit warga Myanmar tiada sebarang dokumen sah untuk memasuki Malaysia.

“Siasatan awal mendapati PATI itu mahu ke Damansara, Kuala Lumpur, dengan dibantu seorang ejen yang akan menghantar mereka ke stesen bas Kota Bharu sebaik memastikan tiada pergerakan pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut Azhari berkata, salah seorang PATI itu didapati fasih berbahasa Melayu kerana sudah beberapa tahun bekerja di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur dan mengaku menjadi petunjuk arah kepada pendatang baru.

“Semua PATI ini dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana memasuki negara melalui jalan tidak diwartakan.

“Kesalahan ini disiasat mengikut Seksyen 5(3) dan 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 11:05 AM