FOTO Hiasan
Siraj Mohd Zaini


MODUS operandi ‘biasa’ along yang menyimbah cat kepada peminjam membawa padah selepas lima lelaki yang menjalankan kegiatan memberi pinjam wang tidak berlesen dicekup polis kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, serbuan dijalankan susulan laporan polis diterima daripada pemilik bengkel yang mendakwa premisnya disimbah cat 6 April lalu.

Menurutnya, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang terhadap sebuah rumah di Puchong yang dihuni lima suspek berusia 25 hingga 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas beberapa salinan fotostat kad pengenalan peminjam, satu tin cat merah, 12 unit telefon bimbit, enam buku mengandungi butiran peminjam dan lain-lain dokumen berkaitan.

“Semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Fazlisyam berkata, orang ramai dinasihatkan mengelakkan diri daripada membuat pinjaman wang daripada along.

“Ini kerana mereka mengenakan kadar faedah tidak masuk akal sehingga peminjam tidak mampu membayar dan menggunakan kekerasan bagi mendapatkan bayaran balik semula.

“Semakan juga mendapati sepanjang tahun ini, 143 laporan polis diterima berkaitan along dengan jumlah nilai pinjaman RM12.7 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 3:18 PM