Aidi Sham menunjukkan jentera berat yang berada di atas lori dipercayai dicuri untuk dibawa ke Kuala Lipis. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


GENG samun jentera berat tumpas selepas penahanan lima lelaki di dua lokasi berasingan di Port Dickson sejak minggu lalu.

Lelaki berusia antara 27 hingga 53 tahun itu ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dari 3 hingga 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan sebuah traktor tanah bernilai RM140,000 dicuri di Batu 10 Jalan Pantai di sini, pada 8 pagi, 3 Oktober lalu.

“Polis menjalankan siasatan dan menahan seorang lelaki yang dipercayai bertindak orang tengah jual beli jentera berat di Telok Kemang pada 8 malam hari sama.

“Hasil soal siasat, polis menahan dua suspek di Hentian Rehat Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) pada 6 petang 6 Oktober lalu.

“Polis juga merampas sebuah jentera berat yang berada di atas lori dipercayai untuk dibawa ke Kuala Lipis, Pahang.

“Susulan penahanan itu, dua lagi suspek yang bekerja sebagai pemandu lori tunda dan peladang ditahan di Kuala Lipis, pada 4 petang keesokannya,” katanya pada sidang media di IPD Port Dickson hari ini.

Aidi Sham berkata, semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis memburu tiga suspek termasuk dalang utama yang masih bebas.

Mereka ialah Syaiful Nizam Mat Isa, 32, beralamat di Kampung Hutan Melintang, Kangar, Perlis; Mohd Noor Awis Ezidin, 33, beralamat di Taman Intan Perdana, Port Dickson dan Hasim Ahamad Tajudin, 39, beralamat di Kampung Gelung Pepuyu, Bruas, Perak.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Lim Hooi Boon di talian 06-6474740 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 4:08 PM