AIDI Sham (tengah) menunjukkan lakaran wajah suspek yang diburu.
Mohd Khidir Zakaria


PORT DICKSON: Polis memburu tiga lelaki yang disyaki aktif melakukan samun dengan menyamar sebagai anggota polis di daerah ini, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 20 hingga 29 tahun itu dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun bersenjata dan curi kenderaan dengan kejadian terbaru pada 4 September lalu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu seorang peniaga disamun di tepi jalan Taman Jimah Jaya, Site C di sini.

“Lelaki berusia 47 tahun terbabit yang memandu kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger ditahan tiga lelaki dan seorang daripada mereka memakai vest serta topi polis.

“Suspek menyamun mangsa dan berlaku pergelutan menyebabkan mangsa cedera di belakang badan, tangan serta kaki,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, semalam.

Aidi Sham berkata, siasatan yang dijalankan berjaya menahan enam suspek termasuk seorang wanita berusia antara 18 hingga 29 tahun dalam beberapa serbuan di Port Dickson dan Selangor.

“Susulan penahanan itu, kita yakin dapat menyelesaikan 22 kes samun di negeri ini, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Melaka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih giat mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai masih bebas iaitu Aiman Isyam Arif Kamal, 20, dari Sungai Udang, Melaka; Yusshafry Erwandy Mohamad Yusof, 29, dari Ampang, Selangor dan Aidil Akmal Adnan, 28, dari Kamunting, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:40 AM