ANTARA barang yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN tiga lelaki menyamar sebagai pegawai imigresen sebelum menyamun kedai runcit di Kelana Jaya, Petaling Jaya, awal bulan ini mengundang padah apabila ditahan polis.

Suspek ditahan dalam beberapa serbuan di Kampung Baru Subang dan Kuala Lumpur bermula kelmarin sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian samun itu berlaku 10.15 malam 4 Oktober lalu apabila dua suspek masuk ke dalam kedai menyamar sebagai pegawai imigresen.

Menurutnya, suspek turut meminta pasport daripada pekerja kedai runcit itu untuk diperiksa sebelum dia diarahkan ke belakang kedai dan tidak tahu apa yang berlaku.

“Pemilik kedai runcit yang dihubungi pekerjanya memaklumkan kejadian itu kemudian terus ke sana dan membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV).

“Dia kemudian mendapati suspek mengambil wang tunai RM5,120 dari mesin wang bersama tujuh karton rokok pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, suspek turut memakai jaket dan topi berlambang imigresen.

“Sebaik mereka keluar, datang pula empat lelaki memakai topi keledar dan mengambil rokok serta pelbagai minuman menyebabkan mangsa kerugian RM6, 783.

“Susulan itu, polis kemudian mengesan mereka sebelum menahan suspek pertama berusia 26 tahun di hadapan rumah di Kampung Baru Subang, 3.30 petang kelmarin.

“Dua lagi suspek berusia 34 dan 48 tahun pula ditahan di pusat beli belah di Jalan Loke Yew, 4.30 petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, suspek kedua adalah dalang membekalkan jaket dan topi imigresen bersama gari kepada dua lagi suspek yang dibelinya di Thailand pada Ogos.

“Siasatan awal mereka mengaku terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 9:51 AM