MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. FOTO Muhaizan Yahya
Nor Akmar Samudin

PEMBENTANGAN Belanjawan 2020 yang meluluskan permohonan Elaun Perkhidmatan Bomba kepada seluruh 14,400 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mampu memberikan rangsangan motivasi kepada anggota bomba di seluruh negara untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, dalam kenyataannya, hari ini berkata, belanjawan itu juga akan membantu rakyat untuk memiliki rumah apabila pembiayaan RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan, melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion menerusi program Pembiayaan Sewa untuk Memiliki (Rent To Own - RTO).

“Di bawah program berkenaan, kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju, institusi kewangan dan pembeli.

“Selain itu, sebanyak RM100 juta disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membaik pulih rumah berstrata kos rendah dan sederhana dengan memfokuskan usaha baik pulih lif, pendawaian elektrik, paip pembentungan dan bumbung,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk inisiatif Bandar Selamat dengan kerjasama dari pihak berkuasa tempatan, bagi menyediakan lampu jalan, kawasan parkir motosikal dengan ciri keselamatan dan pagar antipanjat, serta program keselamatan lain.

“Bagi Skim Perumahan Belia, Kerajaan Persekutuan juga menawarkan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus melalui Cagamas, yang membolehkan peminjam mendapat pembiayaan penuh dengan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan, untuk tempoh 2 tahun pertama, terhad untuk 10 ribu unit rumah bermula 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021.

“Selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, saya melihat Belanjawan 2020 yang dibentangkan ini, khususnya untuk KPKT adalah satu perancangan yang tepat dan terperinci, dalam usaha menyelesaikan permasalahan pemilikan rumah untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Kata Zuraida, bagi pihak KPKT beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Malaysia,

Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 11:17 AM