Khairul Najib Asarulah Khan


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menahan sesiapa melainkan terdapat bukti menunjukkan mereka terbabit dalam kegiatan melanggar undang-undang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setiap tindakan yang diambil pihaknya pasti ada bukti tertentu.

“Kita tak (tidak) tangkap tak tentu pasal. Setiap tangkapan pasti bersebab dan mengikut prosedur operasi standard ( SOP) ditetapkan.

“Mereka yang ditahan juga akan mendapat hak sewajarnya seperti berjumpa keluarga dan peguam.

“Kalau tidak bersalah terpulang pada peguam masing-masing hendak berhujah bagaimana nanti,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Bulan Sukan Negara PDRM 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan dan Melaka

yang dikaitkan dengan pembabitan mereka dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, isu keselamatan adalah tanggungjawab PDRM.

“Saya meminta ahli politik tenang dan menyerahkan isu keselamatan kepada polis.

“Kami akan berlaku adil dan tiada isu kaum atau agama. Apa sahaja kegiatan yang menjejaskan keselamatan negara tindakan akan diambil.

“Kita tidak mahu wujudnya sebarang unsur atau

eleman keganasan wujud di negara ini yang mana boleh memberi ancaman,” katanya.

Berita berkaitan

Bukan tahan suka-suka

Tujuh termasuk dua ADUN ditahan [METROTV]

Tahan pengganas, bukan kerana kaum - Polis

Dua ADUN ditahan polis [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 11:24 AM
ANTARA individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan pengganas LTTE.