KAKITANGAN Dewan Undangan Negeri Sabah, Hamidzah Hamid, 38, menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, semalam. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

INSTITUT Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata Belanjawan 2020 berjaya menangani beberapa isu yang dihadapi negara, dan pada masa yang sama memacu pertumbuhan dan mencapai hasil saksama jangka panjang.

“Ia (belanjawan) bertujuan memperkukuh struktur ekonomi, membangunkan kualiti tenaga kerja dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Ia merupakan belanjawam pertama sejak pengumuman Wawasan Kemamurkan Bersama 2030,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

KRI berkata bajet itu menangani beberapa kebimbangan KRI, seperti peningkatan pelepasan cukai individu untuk bayaran TASKA yang dapat memperkukuh penjagaan dengan mengurangkan beban kewangan keluarga, yang diketengahkan dalam laporan kajian ‘Masa untuk Penjagaan: Ketidaksamaan Gender, Kerja Tanpa Bayaran dan Penggunaan Masa’.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan pelepasan cukai individu ke atas yuran yang dibayar untuk mendaftar anak di tadika dan taska berdaftar, daripada RM1,000 kepada RM2,000, bagi meringankan beban kewangan mereka.

“Bantuan Sara Hidup (BSH) yang lebih bersasar dan diperluaskan merupakan langkah yang betul untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

KRI berharap dapat terus memainkan peranan dalam menyokong pembangunan dasar yang ditangani dalam Belanjawan 2020 dan matlamat yang lebih luas dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 2:21 PM