SYED Basri (kanan) bersama anggotanya membersih rumah mangsa banjir di Kampung Tanjung Merbau. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

KESEMUA 155 mangsa banjir membabitkan 49 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling dibenarkan pulang ke rumah, hari ini berikutan keadaan banjir sudah pulih.

Kebanyakan mangsa ditempatkan di PPS di Kompleks Rakan Muda, Batu 42 dan Dewan Tun Abdul Razak.

Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Baling, Abdul Bari Abdullah berkata, keadaan cuaca kembali pulih sejak semalam membolehkan PPS ditutup.

“Kita menutup pusat pemindahan sementara sekitar 2 petang kerana penempatan penduduk yang dilanda banjir semakin pulih.

“Mereka dibenarkan pulang petang ini kerana keadaan didapati sudah selamat,” katanya.

Abdul Bari berkata, mangsa terpaksa tinggal selama lima hari di PPS berikutan rumah mereka dinaiki air sedalam satu meter.

“Sekiranya banjir kembali berlaku, penduduk yang sering terjejas diminta berpindah segera,” katanya.

Beliau berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan penempatan penduduk yang terjejas selamat.

Sementara itu, mangsa banjir, Siti Ramlah Ismail, 66, dari Kampung Tanjung Merbau, berkata, dia terpaksa membersih rumah kerana keseluruhan dimasukki air dan banyak barangan yang rosak.

Beliau berkata, dia dan anaknya, Suhana Majid, 22, berpindah ke PPS selama lima hari dan dibenarkan pulang hari ini.

“Saya bersyukur anggota sukarelawan termasuk polis turut membantu membersih rumah yang berlumpur.

“Merekalah yang membantu mencuci rumah yang dipenuhi selut dan banyak perabut yang rosak,” katanya.

Menurutnya, setiap kali berlaku banjir dia terpaksa membeli perabut yang baru.

“Apabila perabut itu terkena air berlumpur ia rosak dan akan dibuang,” katanya.

Sementara itu, 100 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling turut membantu secara sukarela membersihkan rumah mangsa banjir.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali berkata, atas dasar kemanusiaan anggota dipecahkan kepada tiga kumpulan untuk membersih sekitar rumah mangsa.

“Kita terpanggil untuk memberi khidmat sosial bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas banjir.

“Anggota bergotong royong mencuci rumah dan mengangkat peralatan yang rosak supaya beban dan kesedihan penduduk terubat,” katanya.

Syed Basri berkata, tidak ada laporan jenayah yang dilaporkan semasa mangsa tinggal di pusat penempatan banjir.

“Berdasarkan pemantauan kami, sepanjang kejadian banjir yang berlaku di daerah ini, tiada laporan kecurian atau pecah rumah dilaporkan.

“Kita sentiasa membuat rondaan dari semasa ke semasa ke kawasan penempatan penduduk bagi mengelak kecurian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 3:34 PM