Rakan mangsa menunjukkan gambar kek yang ditempah untuk menyambut ulang tahun kelahiran mangsa di Melaka Raya hari ini. Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Rakan mangsa menunjukkan gambar kek yang ditempah untuk menyambut ulang tahun kelahiran mangsa di Melaka Raya hari ini. Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


“KETIADAAN dia memang amat dirasai, semalam kami langsung tidak bersemangat untuk bekerja.

“Terngiang-ngiang suara riuh rendahnya yang suka berceloteh serta membebel, sukar untuk menerima dia ‘pergi’ dalam keadaan sebegini,” kata rakan sekerja kepada wanita yang ditemui dibunuh dan dikerat dalam kejadian di Kampung Ladang, Krubong, Melaka pada Khamis lalu.

Rakannya itu yang enggan dikenali berkata, dia dan rakan sekerja masih sukar untuk menerima hakikat bahawa mayat yang ditemui berselerakan itu adalah kawan mereka sendiri.

Menurutnya, sepatutnya dia bersama rakan lain merancang untuk menyambut hari lahir wanita berkenaan pada Isnin, malah turut menempah kek untuknya tetapi pada hari berkenaan pasangan suami isteri berkenaan gagal dihubungi.

“Kali terakhir kami bercakap dengannya melalui panggilan video pada 8.47 malam, Ahad dan mereka kelihatan ceria serta bahagia seperti biasa.

“Bagaimanapun, pada Isnin mereka gagal dihubungi sebelum suaminya menghubungi dan menghantar pesanan WhatsApp pada Selasa dan Rabu memberitahu isterinya lari dari rumah selain bertanya jika dia ada bekerja,” katanya ketika ditemui di Melaka Raya hari ini.

Menurutnya, dia tidak tahu apa motif suami wanita berkenaan memaklumkan isterinya lari daripada rumah selepas kejadian itu selain turut memberitahu dia berdepan masalah undang-undang di negaranya.

Katanya, sepanjang kira-kira empat bulan mengenali wanita berkenaan, dia tidak pernah bercerita sebarang masalah rumah tangganya walaupun suaminya tinggal di Singapura.

“Mereka adalah pasangan yang bahagia, malah dia turut bercerita keluarga mentuanya juga baik selain turut membelikan hadiah buatnya.

“Jadi apabila hal ini berlaku ia memang di luar jangkaan dan amat sedih dengan apa yang dia lalui,” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan sepatutnya masuk kerja semula pada Rabu selepas mendapat cuti sakit pada Sabtu hingga Selasa kerana tidak sihat.

Sementara itu, bekas rakan sekerja wanita berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Aida, 30-an berkata, apa yang berlaku amat mengejutkan kerana mereka berdua adalah pasangan bahagia.

“Kebahagiaan yang ditunjukkan mereka berdua memang daripada kasih sayang bukannya dibuat-buat.

“Walaupun sempat bekerja bersamanya hanya dua bulan tetapi dia seorang yang periang dan disenangi ramai,” katanya.

Harian Metro pada Khamis melaporkan mayat individu dipercayai mangsa bunuh ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong pada 4 petang.

Mayat mangsa dalam keadaan tanpa pakaian itu ditemukan berselerakan di kawasan semak.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 11:10 PM