ROZITA bersama Hafiy Sazali selepas menerima wang ihsan RM500. FOTO Mohd Sabran Md Sani.
Mohd Sabran Md Sani


“BUKAN saya saja berdepan masalah kesihatan, tetapi anak yang baru dilahirkan turut alami alahan kulit,” kata mangsa pencemaran toksik Sungai Kim-Kim, Rozita Supar, 32.

Rozita yang juga ibu kepada tiga anak berkongsi pengalaman berdepan dua insiden pencemaran Sungai Kim Kim ketika mengandungkan anak ketiganya, Hafiy Sazali, tiga bulan.

Suri rumah itu berkata, dia dua kali sesak nafas ketika usia kandungannya enam bulan semasa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini, pada 7 Mac lalu.

Akibatnya, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) selama empat hari.

“Fasa pertama saya terpaksa mendapatkan rawatan akibat sesak nafas akibat pencemaran yang berlaku di sekitar Pasir Gudang.

“Fasa kedua pula menyebabkan keadaan bertambah kronik hingga terpaksa dibawa menaiki ambulans dan dirawat di ICU selama empat hari,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima wang ihsan bernilai RM500 disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Dewan Serbaguna Taman Mawar di Pasir Gudang, hari ini.

Seramai 26 pesakit yang ditahan di wad ICU menerima wang RM500 seorang, sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 Peringkat Negeri Johor.

Pada masa sama, 740 pesakit yang ditahan di wad hospital turut menerima wang ihsan RM200 seorang.

Hadir sama, Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, Kolonel (PA) Mat Zin Bujang.

Rozita berkata, dia hampir trauma selepas anak dalam kandungannya ketika itu tidak bergerak.

“Saya ditahan di ICU selepas anak dalam kandungan berusia enam bulan tidak bergerak.

“Bayangkan ketika itu, kita ada dua nyawa dan pastinya saya juga mahu nyawa anak diselamatkan.

“Bagaimana perasaan seorang ibu apabila dilaporkan anak dalam kandungan tidak bergerak?” katanya.

Menurutnya, bersyukur kerana bayinya itu bergerak kembali dan dirawat di hospital sama selama dua minggu.

Katanya, dia sama seperti penduduk Pasir Gudang lain tidak mahu episod pencemaran itu berulang dan mahu ia dihentikan segera.

“Meskipun kos rawatan di hospital kerajaan tidak setinggi kos di hospital swasta, tapi banyak masa dan tenaga dibazirkan.

“Kejadian ini menyebabkan suami terpaksa bercuti lama termasuk menguruskan dua anak kami yang bersekolah,” katanya.

Menurutnya, biarpun kejadian itu berlaku hampir enam bulan lalu pencemaran kimia itu memberi kesan kesihatan pada bayi dilahirkannya.

“Ketika dilahirkan jantung anak saya laju dan keadaan mukanya juga terkena alahan dan boleh dilihat dengan jelas masalah kulit dihadapinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 2:34 PM