Siti A’isyah Sukaimi


PENGURANGAN nilai ambang kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar dikurangkan daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing hanya terpakai kepada unit sedia ada yang masih tidak terjual dan berkuatkuasa dari 1 Januari hingga 31 Disember 2020 saja.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pengurangan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar itu antara langkah diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Katanya, cadangan belanjawan itu disalah tafsir oleh pihak tertentu.

“Langkah ini dicadangkan bagi membantu mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku 2019.

“Ia tidak merangkumi projek baru yang belum dilancarkan. Langkah ini dijangka memanfaatkan sektor hartanah tanpa menjejaskan kepentingan warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, unit sedia ada yang tidak terjual adalah kediaman yang tidak dapat menarik pembeli tempatan.

“Sehubungan itu, kelonggaran mengurangkan nilai ambang untuk pemilikan asing kondominium dan pangsapuri tidak akan menidakkan hak pembeli tempatan.

“Pembeli tempatan tidak dinafikan hak mereka kerana jika mereka hendak beli, mereka boleh beli sekarang dan ia tidak akan kekal sebagai unit tidak terjual,” katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, jika unit itu dapat dijual, ia secara langsung akan memberi impak limpahan ekonomi kepada negara.

Katanya, pihak Kementerian Kewangan akan terus memantau pelaksanaan kelonggaran itu berhubung pengurangan nilai ambang bagi memastikan objektif dasarnya tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 3:10 PM
FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP