KELUARGA Mohd Rashidi menjemur permaidani selepas banjir surut, hari ini. FOTO Rosdan Wahid.
KELUARGA Mohd Rashidi menjemur permaidani selepas banjir surut, hari ini. FOTO Rosdan Wahid.
Nurul Hidayah Bahaudin


BAGI penduduk Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dan sekitarnya, banjir sudah diibaratkan ‘acara tahunan’ untuk mereka.

Ini kerana kekerapan bencana itu berlaku meskipun hujan lebat hanya lebih sejam sahaja.

Seorang daripada penduduk, Nur Fadzillah Hassan, 29, berkata, kejadian semalam berlaku mendadak selepas hujan lebat lebih sejam bermula 4 petang.

“Ketika itu air mula naik, saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kuala Lumpur dan tiba kira-kira 8 malam.

“Air naik dengan cepat hingga hampir satu meter dan kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sungai Serai.

“Air surut semula mulai awal pagi tadi (hari ini),” katanya yang memberitahu banjir itu pertama kali berlaku bagi tahun ini.

Pekerja hotel itu berkata, sejak lebih 20 tahun tinggal di kampung itu, banjir lumpur bukan asing untuknya, malah tahun lalu, ia berlaku sebanyak tiga kali.

Seorang lagi penduduk Kampung Sungai Serai, Mohd Rashidi Abd Rashid, 33, berkata, perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak disebabkan banjir itu.

“Saya bersama enam ahli keluarga berpindah ke rumah pusaka ini tahun lalu dan jiran pernah memberitahu kampung ini sering dilanda banjir.

“Cumanya saya tidak sangka hujan lebat sekejap pun boleh menyebabkan banjir lumpur dan saya tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga terpaksa berjaga semalaman menanti air surut dan mengemas rumah yang berlumpur serta dipenuhi sisa banjir.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Serai Zainuddin Mohamad Tasar, 67, berkata, 41 keluarga membabitkan 141 penduduk terjejas dan ditempatkan di PPS, sudah pulang ke rumah masing-masing, hari ini.

“Bermula 9 pagi penduduk mula pulang untuk bersihkan kediaman mereka, memandangkan air surut bermula awal pagi.

“Dianggarkan 200 rumah yang terjejas dan ini dianggap kejadian paling buruk dalam tempoh dua tahun ini. Banjir kerap melanda sejak 2010,” katanya.

Beliau tidak menolak kekerapan banjir itu disebabkan pembangunan tidak sekata dan sistem perparitan yang lemah, malah berharap pihak berkuasa mengambil langkah penyelesaian segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:23 PM