Peserta yang mewakili Malaysia di Korea Selatan bergambar selepas tiba di balai ketibaan KLIA. FOTO Luqman Hakim Zubir
Siti A’isyah Sukaimi


“ROBOT kami ‘biasa-biasa’ saja jika dibandingkan dengan peserta negara lain yang lebih canggih dan hebat.

“Sebab itu apabila diumumkan pemenang, pada mulanya kami tak percaya,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya, Muhammad Syahir Arshad, 15.

Dia bersama dua rakan pasukan, pelajar SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, Foo Sheng Chai, 15, dan pelajar SMK Kota Kemuning, Shaheil Liam Kumar, 15, diumum juara sekali gus membawa pulang pingat emas Pertandingan Robotik Antarabangsa 2019 kategori Menengah Rendah.

Pertandingan itu berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Korea, Korea Selatan dari 10 hingga 12 Oktober lalu.

Muhammad Syahir berkata, menerusi pertandingan itu, mereka menampilkan robot yang ditugaskan untuk mengutip bola pelbagai saiz dan memasukkannya ke dalam bakul khas.

“Robot dihasilkan ini adalah idea secara bersama dan melihatkan kepada persaingan dengan peserta lain, robot mereka sangat canggih dan hebat.

“Memang ada rasa gemuruh apatah lagi pertama kali saya bertanding membabitkan peserta negara lain, namun kami tetap berusaha sehingga berjaya menyelesaikan tugasan,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.


Muhammad Syahir (kanan), Foo (tengah) dan Shaheil bersama pingat emas yang dimenangi mereka. FOTO Luqman Hakim Zubir

Rakannya, Sheng Chai berkata, biarpun belajar di sekolah berbeza, mereka bertiga tidak menghadapi masalah berbincang mengenai persiapan latihan.

Katanya, kumpulan pada aplikasi WhatsApp turut memudahkan mereka berbincang mengenai strategi dalam pertandingan itu.

Sementara itu, Pengarah Projek World of Robotics Sdn Bhd, Michelle Choo berkata, ini kali kedua peserta dari Malaysia dihantar pada pertandingan robotik berkenaan.

“Tahun lalu kita hantar tujuh pasukan dan membawa pulang hadiah dua emas dan satu gangsa.

“Untuk tahun ini, kita hantar enam pasukan dan berjaya membawa pulang satu emas (kategori Menengah Rendah), satu perak (Kategori Menengah Rendah) dan satu gangsa (Kategori Menengah Atas),” katanya.

Katanya, selain Malaysia, negara lain yang turut menghantar wakil pasukan seperti Amerika Syarikat dan China.

Pada pertandingan itu, kategori Menengah Rendah yang membawa pingat perak dimenangi pasukan dari Permata Pintar Negara.

Mereka ialah Ahmad Aliff Yusmar, Chew Yi Nin dan Adam Khalis Khairilfaizi Noor yang semuanya berusia 15 tahun serta rakan mereka Hana Safiyyah Mohd Hairil Izzuan dan Umi Khalidah Azman masing-masing berusia 14 tahun.

Kategori Menengah Atas pula membawa pulang pingat gangsa yang dimenangi pelajar SMK Gombak Setia iaitu Ahmad Aiman Nor Azam dan Muhammad Hafizam Mazril masing-masing berusia 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 7:52 PM