PIBG SKBSP dan kakitangan sekolah berjaya kumpul RM505,386.40 untuk pembinaan surau baharu sekolah. FOTO Ihsan SKBSP
Wartawan Harian Metro

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra (SKBSP), Bangi berjaya mengumpul dana sebanyak RM413,314.55 sepanjang program Musollathon bagi mendirikan surau baharu sekolah itu.

Setiausaha projek program itu, Nursyazwani Kamarudin berkata, dana itu dikumpul sepanjang Ogos lalu dan kutipan yang berjaya dikumpul itu sangat memberangsangkan dan di luar jangkaan mereka.

Katanya, selain kutipan dikumpul dalam program Musollathon itu, pihaknya turut menerima sumbangan orang perseorangan, ibu bapa, peniaga, guru, murid dan aktiviti jualan daripada Panitia Pendidikan Islam yang keseluruhannya sebanyak RM92,072.25.

“Ia menjadikan jumlah kutipan dana keseluruhan sebanyak RM505,386.40,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Guru Besar SKBSP, Mohamad Jamil Yahaya bersyukur dengan kejayaan memperoleh kutipan dana sebesar itu untuk pembinaan surau sekolah berkenaan dan berterima kasih kepada usaha yang dilaksanakan seluruh warga sekolah.

“Semoga pembinaan surau baharu ini dapat menyelesaikan masalah kepadatan murid yang mencecah hampir 2,600 di sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SKBSP, Mejar (B) Baharuddin Abd Gapar berkata, program diusahakan PIBG itu adalah usaha mereka memberikan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif kepada murid sekolah berkenaan.

Orang ramai yang ingin menyumbangkan dana kepada SKBSP boleh menghubungi sekolah itu di talian 03-89259717 atau hadir ke pejabat sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 12:07 AM