DR SAHRUDDIN (tengah) beramah mesra dengan penerima sijil Notis 5A. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


“INILAH hadiah paling berharga hasil perjuangan kami sejak lebih 30 tahun lalu,” kata Hasrin Shah Talib, 51, penerima Sijil Layak Hak Milik Tanah dan Penyampaian Notis 5A, Kampung Sentosa Masai di Pasir Gudang, semalam.

Hasrin antara 162 pemohon tanah membabitkan lima perkampungan menerima sijil pemilikan tanah daripada Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Semua penerima membabitkan 16 penduduk di Kampung Sentosa Persiaran 1, Kampung Pesiaran 2 (37), Kampung Pesiaran 3 (22), Kampung Sentosa Damai (54) dan Kampung Sentosa Barat (34).

Hasrin berkata, bersyukur kerana perjuangan arwah bapanya, Talib Salleh meneroka kampung itu bersama penduduk kampung membuahkan hasil.

“Arwah bapa antara yang terbabit dalam memperjuangkan kampung ini, bermula dari kosong hingga wujudnya pelbagai kemudahan.

“Bahkan, dia terbabit dalam penyusunan nama dan kawasan membabitkan penduduk Kampung Sentosa ini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Menurutnya, semua penduduk bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri sentiasa peka dengan masyarakat setempat.

Katanya, kerajaan negeri mempermudahkan urusan orang kampung dalam mendapatkan hak masing-masing.

“Kami akan pegang kata-kata Menteri Besar Johor supaya menjaga harta ini sebaik mungkin,” katanya.

Turut berkongsi kegembiraan, ibu tunggal, Junainah Saadon, 56, yang bersyukur menerima sijil pemilikan tanah berkenaan.

Katanya, pelbagai cabaran dihadapi sepanjang 37 tahun tinggal di tanah yang diteroka itu.

“Kami sudah lebih lima kali membuat permohonan untuk memiliki tanah ini, syukurlah kali ini permohonan kami diluluskan dan diberikan Sijil Layak Hak Milik Tanah dan Penyampaian Notis 5A, hari ini.

“Saya tekad untuk mempertahankan tanah ini hingga ke akhir hayat,” katanya yang juga ibu kepada empat anak.

Terdahulu, Dr Shahruddin berkata, berbesar hati kerana dijemput menyerahkan Sijil Layak Milik Tanah Notis 5A, Kampung Sentosa Masai, sempena lawatan kerja ke daerah Johor Bahru, hari ini.

“Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada penduduk Kampung Sentosa, Masai, yang memberikan kerjasama dan bersabar menunggu sehingga janji pemberian hak milik tanah ini dipenuhi.

“Kehadiran saya pada majlis ini adalah untuk menyampaikan Notis 5A kepada pemohon-pemohon yang berjaya, sekali gus membuktikan kerajaan Johor menunaikan dan mengotakan janjinya,” katanya.

Beliau berkata, ia membuktikan kerajaan negeri tidak membuat janji kosong seperti didakwa sebilangan pihak.

“Saya berulang kali menegaskan rumah adalah keperluan asas manusia. Di mana jua kita bermastautin, sejauh mana kita menjelajah mencari rezeki di muka bumi ini, rumah tetap menjadi instrumen terpenting dalam kehidupan kita,” katanya.

Menurutnya, Kampung Sentosa mula dibuka sejak 1970-an dan semakin berkembang sehingga pembukaan beberapa kampung baharu.

“Sepanjang tempoh itu, penduduk tentu risau dan berasa tidak terjamin kerana tanah yang diduduki masih lagi milik kerajaan.

“Hari ini tidak perlu risau lagi, sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab dan peka terhadap keperluan rakyatnya, hari ini saya menyampaikan Notis 5A,” katanya.

Dr Shahruddin berkata, semua 162 penerima perlu menjelaskan bayaran premium supaya hak milik dapat dikeluarkan kepada mereka.

Katanya, penyampaian notis 5A hari ini kepada 162 permohonan yang diluluskan di kawasan seluas 15.9 hektar.

“Untuk makluman, bayaran premium yang dikenakan adalah berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan tanah di kampung ini dinilaikan pengurangan sebanyak 50 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 12:16 AM