AHMAD berkongsi buku Jejak Mutiara pada Program Inspirasi Kejayaan Sebagai Usahawan Berjaya bersama pelajar. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


“BUKU ini seratus peratus cerita saya, bagaimana saya mula berniaga hingga sekarang. Semoga ia boleh dijadikan panduan dan pembakar semangat kepada semua pihak,” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin pada Program Inspirasi Kejayaan Sebagai Usahawan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Johor Bahru di sini, semalam.

Ahmad berkongsi kisah kejayaannya menerusi buku bertajuk Jejak Mutiara: Tak Jatuh, Tak Pandai.. bagi berkongsi jatuh bangun dunia perniagaan pernah diceburinya.

Menurutnya, pembabitannya dalam perniagaan bermula sejak kecil dan mula berminat berniaga berikutan arwah ibunya adalah bidan kampung.

“Dulu, ibu saya bidan kampung dan dia akan menjaja jamu serta kuih tradisional dari Kampung Melayu ke Depoh Polis (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor) sejauh 10 kilometer setiap hari.

“Bayangkan berapa jauh kami berjalan kaki namun dari situ, saya belajar dunia perniagan hingga kini,” katanya ketika berucap di Dewan Umar Abdul Aziz sekolah itu.

Seramai 300 peserta termasuk 240 pelajar tingkatan dua hingga empat dan 30 guru sekolah menyertai program sejam bermula jam 10 pagi.

Ahmad berkata, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan termasuk menjual kasut dan jam tangan.

Katanya, cabaran utama dihadapinya apabila terpaksa bersaing dengan usahawan produk borong yang juga pembekal tempat dia mendapatkan bekalan.

“Ketika itu persaingan dengan bangsa Melayu, tetapi peniaga bangsa lain menurunkan harga hingga hampir melemahkan semangat saya.

“Saya bulatkan tekad, saya perlu bersaing dan terpaksa ‘buang harga’ biarpun sedar berdepan kerugian ketika itu,” katanya.

Menurutnya, kesabaran antara perkara penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan diceburi.

Malah, katanya, beliau lebih gemar menggunakan formula niaga sendiri biarpun mengakui berdepan pelbagai dugaan termasuk mendapatkan semula hutang dipinjamkan kepada peniaga lain.

Ahmad berkata, beliau turut memiliki beberapa perniagaan lain termasuk syarikat kenderaan dimilikinya ketika ini.

“Empat ke lima macam (jenis) bisnes saya ceburi dan mana yang mendatangkan keuntungan itulah yang kita tunggu (bisnes sebenar).

“Selepas 10 tahun bertapak, barulah saya membuka syarikat kenderaan dan berkembang hingga kini,” katanya.

Menurutnya, berniaga perlu jatuh dahulu dan barulah boleh dianggap berjaya.

“Itu dugaan Allah dan mahu menguji tahap kesabaran hambanya dan dari situ, baru kita belajar akan faktor kejatuhan dalam bisnes.

“Paling penting letakkan pelanggan sentiasa betul dan hormati kehendak mereka, barulah boleh berkembang maju,” katanya.

Ahmad yang berpengalaman 30 tahun jatuh bangun dalam perniagaan turut mengakui disiplin dirinya diceduk dari budaya kerja negara Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:00 AM