GAMBAR hiasan
Mohd Rashidi Yusuf


REMAJA lelaki maut, manakala ibu bapanya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki keluarga berkenaan terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 58.4 Jalan Raya Timur Barat Gerik - Jeli, di Gerik, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa Syahmi Norazizan, 13, yang duduk di bahagian belakang parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Difahamkan, bapanya, Norazizan Abd Malek, 48, cedera manakala ibunya Rosilawati Abd Wahab, 46, mengalami pendarahan di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu jam 5.30 petang.

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati MPV dinaiki keluarga berkenaan dari arah Gerik menghala ke Jeli.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, MPV yang dipandu melalui selekoh berbukit dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan dan terjatuh ke dalam gaung.

“Penumpang belakang berusia 13 tahun yang juga anak pemandu parah dan dibawa ke Hospital Gerik sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Ismail berkata, bapa serta ibu mangsa turut mengalami kecederaan dan masing-masing masih menerima rawatan

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:51 AM