TIAN CHU. FOTO Arkib NSTP
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 6 November depan untuk keputusan permohonan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berhubung kelayakannya untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya dan pilihan raya kecil pada masa akan datang.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak di dalam kamarnya.

Tian Chua diwakili peguam Datuk Gurdial Singh Nija, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diwakili Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Maisarah Jauhari.

Pada 26 April lalu Tian Chua atau Chua Tian Chang memfailkan permohonan untuk deklarasi bahawa dia adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya dan pilihan raya kecil.

Selain itu, Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding.

Berdasarkan afidavit, Tian Chua mendakwa dia layak mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman yang dijatuhkan.

Tambah Tian Chua, bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga ada membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai Ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Tian Chua mendakwa pernah menjadi calon, bertanding dan menang menjadi ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 tanpa sebarang bantahan.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum ini, terdapat dua keputusan mahkamah tinggi berasingan yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya masing masing atas kesalahan menghina pegawai polis dan mengganggu penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 1:39 PM