ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan JIM
Hadzlihady Hassan


LELAKI terkencing dalam seluar selepas melihat sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah tumpangan di Kampung Deli, di Georgetown, semalam.

Dalam Op Bersepadu jam 2 petang itu, lelaki berusia 20-an berkenaan berada dalam premis terbabit untuk mendapatkan khidmat seks daripada pelacur di situ.

Bagaimanapun, dia yang terkejut selepas rumah tumpangan itu diserbu mula menggigil ketakutan apabila melihat anggota JIM sebelum terkencing dalam seluar.

Malah, lelaki berkenaan juga cuba meraih simpati dengan meminta supaya dia dilepaskan kerana mendakwa baru saja tiba di rumah tumpangan terbabit dan memberitahu baru pertama kali datang ke premis itu.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, dalam operasi di rumah tumpangan itu, pihaknya menahan 10 wanita warga Indonesia dan juga tiga lelaki tempatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua wanita warga Indonesia berusia 20 hingga 30-an terbabit dipercayai menjadikan rumah tumpangan itu sebagai lokasi menjalankan aktiviti pelacuran.

“Ketika operasi itu, seorang lelaki tempatan yang juga pelanggan terkejut apabila menyedari premis terbabit diserbu JIM hingga membuatkan dia terkencing dalam seluar.

“Siasatan lanjut mendapati semua wanita terbabit mendakwa mereka menawarkan khidmat seks dengan mengenakan bayaran RM50 untuk tempoh 15 minit kepada pelanggan,” katanya.

Muhamad Husni berkata, pihaknya juga turut menyerbu sebuah hotel tidak jauh dari rumah tumpangan berkenaan dan berjaya menahan dua lagi wanita warga Indonesia di situ.

“Semua 12 wanita warga Indonesia itu didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, menetap lebih masa dan melanggar syarat pas.

“Mereka kini ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen Imigresen 1959/63 Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 2:39 PM