LELAKI Bangladesh yang disyaki mencabul kanak-kanak perempuan. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS memburu lelaki Bangladesh yang disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah kedai menjual langsir di Pusat Perniagaan Nilai 3 di Nilai pada 9 Oktober lalu.

Perbuatan keji lelaki terbabit terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian kepada ibunya sebelum wanita itu tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, wanita berusia 37 tahun itu mendakwa anak perempuannya berusia lima tahun mengadu dicabul kira-kira jam 10 malam pada 9 Oktober lalu.

“Mangsa menceritakan dicabul lelaki Bangladesh dikenali Alam ketika berada di premis tempat ibunya bekerja.

“Suspek bekerja di kedai langsir terletak bersebelahan kedai wanita itu bekerja dan mereka saling mengenali sejak enam tahun lalu. Malah, suspek sering bermain dengan mangsa ketika berada di kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, polis segera melakukan siasatan selepas menerima laporan kejadian.

“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku di belakang premis wanita itu bekerja yang turut dijadikan tempat rehat,” katanya.

Katanya, polis menjalankan pemeriksaan di rumah suspek tetapi dia dipercayai sudah melarikan diri.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 3:31 PM