AMINUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dikaji semula.

Beliau berkata, ini kerana undang-undang yang diwujudkan ketika kerajaan terdahulu itu, mendapat bantahan daripada pihak pembangkang ketika itu.

“Saya rasa jika ada keperluan kaji keberkesanan dan tujuan ia (SOSMA) diwujudkan dan itu bukan satu masalah.

“Ini kerana kita mahu lihat satu undang-undang yang lebih baik dan adil,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK), Komisioner Polis Datuk Seri Zulkifli Abdullah, Pengarah AADK negeri, Dr Nazira Sadiron.


AMINUDDIN beramah mesra dengan penerima anugerah. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan SOSMA seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) kerana ia pernah disalah guna terhadap pihak atau individu yang membongkar kegiatan korupsi.

Sementara itu apabila diminta mengulas mengenai penahanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran yang dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Beri peluang siasatan dibuat dengan adil. Selepas sebarang keputusan dibuat oleh mahkamah baru ambil tindakan berikutnya,” katanya.

Mengenai permintaan pembangkang yang meminta ADUN yang ditahan mengikut SOSMA ‘direhatkan’, Aminuddin berkata, permintaan yang dibuat pihak terbabit bersifat nakal kerana ia masih di peringkat siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 3:50 PM