Fairuz Zaidan


“KAMI selalu berjalan balik bersama. Bila dia tiada, memang rasa kehilangan,” kata murid tahun enam sebuah sekolah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka, yang juga rakan mangsa pembunuhan kejam yang mayatnya ditemui 10 Oktober lalu.

Katanya, walaupun berbeza usia kerana mangsa murid tahun lima namun mereka berdua agak akrab kerana kediaman berdekatan.

“Dia tidak kedekut. Kadang-kadang balik sekolah dia akan beli makanan, roti untuk kami kongsi bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, rakan sekelas mangsa yang berusia 11 tahun turut mengakui yang mangsa tidak hadir ke sekolah sudah seminggu sebelum mengetahui berita kematian sahabatnya itu.

“Saya baru tiga bulan berpindah sekolah di sini, tetapi baik dengan dia. Kalau di dalam kelas, dia duduk bersebelahan murid perempuan.

“Bila seminggu dia tak datang kelas, pelik juga kerana dia tidak begitu sebelum ini. Dia ada juga kata nak ke Singapura,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di perkarangan sekolah rendah hari ini, mendapati kebanyakan ibu bapa mengetahui tragedi menimpa murid bersama-sama ibunya yang dikerat lapan itu.

Ketika didekati, seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 35, berkata dia tidak terlalu mengenali kedua-dua mangsa tetapi mengetahui kejadian berkenaan berdasarkan cerita disampaikan ibu bapa serta komuniti di taman perumahan berkenaan.

“Daripada apa yang disampaikan oleh anak, kanak-kanak lelaki yang dibunuh bersama ibunya adalah murid yang aktif di sekolah dan sering memasuki pelbagai program anjuran pihak sekolah,” katanya ringkas.

Sementara itu, satu rakaman video didedikasi khas buat mangsa yang dibuat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Video berdurasi 5.08 minit itu dimuat naik jam 8.12 malam, Sabtu lalu memaparkan beberapa klip gambar aktiviti murid tahun lima sekolah berkenaan bersama mangsa khususnya berkaitan aktiviti sekolah.

Dalam keterangan videonya, antara lain dipaparkan keterangan gambar ... “Bila mana sahabat dari kelas yang sama pergi sekelip mata. Kita doakan semuanya dipermudahkan segalanya. al-Fatihah buat arwah, semoga kamu tenang di sana. Syurga menanti mu sayang.”

Setakat jam 4.30 petang ini, video itu sudah ditonton sebanyak 260 kali.

Pada 10 Oktober lalu mayat dua beranak itu ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong, pada 4 petang.

Dua beranak itu dibunuh di rumah mereka dan dicampakkan ke kawasan semak sebelum ditemui pemotong rumput.

Susulan itu, polis berjaya menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:43 PM
    KEDIAMAN yang menjadi lokasi dua beranak dibunuh kejam. FOTO Khairunisah Lokman