SHAHROL hadir pada perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


SAKSI memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak mempunyai sebab untuk memeriksa semula dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semua arahan yang diberikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sesi pemeriksaan balas.

Beliau memberi keterangan dalam kes membabitkan Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Muhammad Shafee merujuk kepada Shahrol, surat yang ditandatanganinya dan diberikan kepada Najib berhubung isu maklumat sulit membabitkan 1MDB yang perlu diberikan kepada Jabatan Audit Negara bagi tujuan penilaian kewangan.

SHAFEE: Siapa yang buat surat ini? Surat ini mencadangkan penilaian yang perlu dilakukan dan yang perlu dielakkan.

SHAHROL: Saya yang tandatangan tetapi isi kandungan disediakan oleh Jho Low.

SHAFEE: Apabila dia mengarahkan untuk berbuat demikian, tidakkah kamu terfikir dia (Jho Low) sebenarnya menghalang apa yang Jabatan Audit Negara mahu buat?

SHAHROL: Ketika itu, saya merasakan perlu ikut apa yang Audit (Jabatan Audit Negara) mahu tetapi Jho Low beritahu ia adalah bahaya untuk Najib. Sebab itu, Jho Low memberi nota maklumat berhubung perkara ini.

SHAFEE: Kenapa kamu ikut apa yang dia (Jho Low) kata?

SHAHROL: Ia adalah kerana saya beranggapan arahan itu adalah daripada Najib.

SHAFEE: Kamu sebagai CEO, yang dapat gaji RM80,000 sebulan dengan bonus 18 bulan, kamu tidak rasa menjadi tanggungjawab kamu untuk memeriksa semula berhubung arahan yang diberi? Ada kamu periksa semua dengan Najib?

SHAHROL: Dengan arahan daripada Jho Low, saya anggap ia daripada Najib. Saya tidak mempunyai sebab untuk memeriksa semula dengan Najib.

SHAFEE: Setuju dengan saya kamu boleh berbalas mesej dengan Najib?

SHAHROL: Saya ada mesej sekali atau dua dalam setahun iaitu ketika Hari Raya atau hari jadi dan juga ketika pilihan raya. Ketika di 1MDB, saya tidak ingat sama ada saya menghantar mesej yang signifikan.

SHAFEE: Adakah kamu terkejut jika saya boleh menunjukkan bukti ini?

SHAHROL: Ya, silakan, saya tidak bersalah.

SHAFEE: Tetapi setuju dengan saya bahawa kamu selalu bermesej dengan Najib?

SHAHROL: Saya tidak boleh menghantar mesej terhadap benda (perkara) yang saya sudah rasa betul ketika itu.

SHAFEE: Setuju dengan saya bahawa kamu lebih percaya dengan Jho Low daripada memeriksa sendiri dengan Najib?

SHAHROL: Ketika itu, saya tidak ada sebab untuk periksa semula arahan.

SHAFEE: Kini kamu mempunyai banyak sebab untuk berbuat demikian?

SHAHROL: Ya. Ia adalah kerana nota maklumat yang disediakan oleh Jho Low konsisten dengan tindakan Najib.

SHAFEE: Bagaimana pula dengan isu menyembunyikan transaksi daripada pihak audit (Jabatan Audit Negara)?

SHAHROL: Ketika itu, 1MDB menerima RM4.3 bilion daripada RM5 bilion bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN). Pihak pembangkang sudah membesarkan isu ini. Jadi, ketika itu, saya percaya Jho Low melakukannya untuk melindungi kepentingan Najib ketika itu.

SHAFEE: Setuju dengan saya, jika pihak audit meneruskan pemeriksaan ini, mereka akan menemui bahawa Jho Low sedang memperdayakan 1MDB pada Julai 2010 atau lebih awal?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Oleh kerana halangan ini, masalah (masalah terbitan sukuk IMTN) 1MDB tidak ditemui oleh Ketua Audit Negara?

SHAHROL: Ya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 8:11 PM