Anggota polis mengangkat mayat remaja perempuan yang ditemui meninggal dunia di rumah keluarganya untuk proses bedah siasat di Hospital Dungun. Foto Rosli Ilham


REMAJA perempuan ditemui meninggal dunia dalam keadaan tali pinggang berbelit di leher dalam bilik di perumahan kakitangan kilang kelapa sawit di Dungun hari ini.

Mangsa yang berusia 18 tahun itu ditemui adik perempuannya pada 2.45 petang.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika ibu mangsa sedang berada di dapur dan tidak menyedari kejadian terbabit.

Sebelum itu, adik perempuannya mangsa yang baru pulang dari sekolah bertanyakan mengenai kakaknya kepada ibu mereka.

Susulan itu, ibunya minta kanak-kanak berkenaan menjenguk kakaknya yang berada di dalam bilik.

Kanak-kanak berkenaan yang ke bilik kakaknya itu kemudiannya mendapati remaja terbabit berada dalam keadaan terduduk di bucu katil dengan keadaan tali pinggang berbelit di leher sebelum memaklumkan kepada ibunya.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri selepas beberapa kali cuba dikejutkan ibunya sebelum menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian itu.

“Pegawai perubatan dari klinik berhampiran yang turut ke lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Susulan itu, sepasukan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dipanggil ke lokasi untuk siasatan lanjut tetapi tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mayat mangsa,” katanya.

Menurut Baharudin, mayat remaja berkenaan kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya dan setakat ini kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 10:23 PM