Allahyarham Abdul Aziz
Yusmizal Dolah Aling


NAIB Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Abdul Aziz Abu Bakar meninggal dunia di Hospital Serdang petang hari ini.

Allahyarham yang berusia 53 tahun sebelum itu menjalani rutin dialisis di sebuah pusat perubatan di Kajang, tidak sedarkan diri secara tiba-tiba sebelum dirujuk ke hospital dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, Allahyarham yang menderita sakit sejak beberapa tahun lalu sempat berbual dengan ahli keluarga sebelum itu.

“Hari ini MAPIM kehilangan tokoh yang begitu kita sayangi dan disegani kerana kerja-kerja kemanusiaan yang begitu dekat dengan arwah.

“Sepanjang kami bersama di dalam misi, sebanyak 36 masjid dibina atas usaha arwah termasuk di Gaza.

“Kebetulan pula, esok saya dijadualkan ke Syria untuk misi terbaru MAPIM dan akan melawat beberapa projek hasil usaha arwah.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskannya kerana arwah ibarat guru dalam kerja kemanusiaan selama ini,” katanya kepada Harian Metro.

Abdul Aziz meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat Negeri Selangor daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri tahun lalu.

Jenazah dibawa ke rumahnya di Bandar Baru Bangi dan akan disolatkan di Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Segambut selepas solat Asar esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 10:44 PM