Mohd Firdaus Ibrahim


PENAWARAN harga tinggi oleh kerajaan kepada pemilik tanah di Kampung Baru dibimbangi menyukarkan pembelian semula rumah di kawasan berkenaan oleh orang Melayu pada masa depan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan mampu menaikkan tawaran harga berkenaan.

“Kita boleh naikkan (harga) yang ditawarkan kepada pemilik. Kita khuatir dengan kenaikan harga itu, (menyebabkan) bangunan yang didirikan rumah flat dan apartmen juga akan naik harga.

“Ini menyebabkan sekali lagi lagi kita tak dapat jual. Kampung baru adalah untuk orang Melayu. Orang Melayu tak banyak ada duit.

“Kalau kita nak ikut harga tanah di luar Kampung Baru, ada yang sampai RM7,000 satu kaki persegi. Kalau buat macam tu orang Melayu tak masuk la,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Peralatan Perubatan Malaysia (MEDEX) 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menjawab rasional penawaran harga rendah kepada pemilik tanah di Kampung Baru, Dr Mahathir berkata, ia bagi mengekalkan pemilikan atau pembelian semula dalam kalangan orang Melayu.

“Sebab itu kita bagi ‘special price’ murah, orang itu jual tanah dia murah, kita pun boleh buat bangunan apartmen dan flat yang lebih murah, yang mampu kepada orang melayu,” katanya.

Ditanya harga yang akan ditawarkan semula kepada pemilik tanah, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut.

“Harga tanah? Saya kalau duduk tawar-tawar, dia (pemilik) tawarlah semula,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, orang Melayu gagal membeli semula tanah selepas dijual.

“Kita lihat di mana-mana orang Melayu memiliki tanah, mereka miskin, mereka jual dengan harga yang baik tetapi mereka tak dapat balik dah.

“Tanah itu akan didapati (dimiliki) orang lain. Tetapi Kampung Baru ini kita perlu penghuninya terdiri daripada orang Melayu.

“Kebanyakan orang Melayu tak beli dengan harga yang mahal. Kalau kita nak ikut harga pasaran orang Melayu tak masuk dah kampung baru,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kerajaan menawarkan harga RM850 satu kaki persegi untuk membeli tanah di kawasan berkenaan, namun pemilik enggan menerima tawaran itu.

Pemilik berharap kerajaan menawarkan sekurang-kurangnya RM1,200 satu kaki persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 11:32 AM
KAMPUNG BARU. FOTO Arkib NSTP