BOMBA memadam kebakaran hutan di Jalan Camar, Matang, Kuching, bulan lalu. FOTO Arkib NSTP.


SEHINGGA kini, 89 kompaun dikeluarkan dan 23 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan pembakaran terbuka.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain kompaun RM2,000.

“Berdasarkan pemantauan dan siasatan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS), didapati punca utama jerebu dalam negara adalah daripada aktiviti pembakaran terbuka untuk pertanian dan kebakaran hutan gambut,” katanya pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu sama ada terdapat siasatan terhadap punca jerebu serta tindakan terhadap pihak terbabit dengan pembakaran terbuka.

Sementara itu, Isnaraissah Munirah berkata, pelbagai usaha dijalankan kementerian dan JAS, antaranya mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menangani masalah berkenaan.

Katanya, selain itu penguatkuasaan dipertingkatkan di kawasan mudah terbakar menerusi operasi bersepadu dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, untuk pelan jangka panjang, kementerian sedang mengkaji dan masih menggubal undang-undang di peringkat persekutuan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar rentas sempadan, merangkumi jerebu.

“Dengan adanya undang-undang ini tindakan boleh diambil ke atas individu ataupun syarikat tempatan yang beroperasi di luar negara, yang berlakunya kebakaran hutan dan ladang yang menyebabkan jerebu merentas sempadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 3:13 PM