Nur Lela Zulkipli


TAKTIK sindiket dadah memilih kawasan rumah kedai di Meru, Klang, sebagai pusat operasi makmal syabu bagi mengelak dihidu polis akhirnya terbongkar selepas digempur polis, pagi Jumaat lalu.

Sindiket baru beroperasi tidak sampai sehari itu memilih lokasi berkenaan yang agak terpencil untuk dijadikan makmal dadah bagi mengelak bau syabu dimasak daripada dihidu penduduk berhampiran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, serbuan pada jam 9.30 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hasil maklumat orang awam yang melihat asap tebal keluar dari premis berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini baru saja ingin memulakan kerja memproses syabu, namun berlaku letupan kecil berpunca daripada reaksi bahan kimia sehingga menyebabkan sebahagian daripada premis itu terbakar.

“Pihak polis dan bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya mendapati premis berkenaan sebenarnya adalah makmal memproses cecair ibu syabu ‘meth oil’ untuk dijadikan syabu siap dimasak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas ‘meth oil’ dianggarkan seberat 45.8 kilogram (kg) yang boleh menghasilkan seberat 18.5kg syabu, syabu seberat 5kg dan peralatan makmal untuk memproses dadah.

Menurutnya, keseluruhan nilai dadah dirampas dianggarkan berjumlah RM1.65 juta dan boleh membekalkan syabu kepada 47,000 penagih sekiranya siap diproses.

Katanya, ini adalah kejayaan keempat Polis Kontinjen Selangor pada tahun ini dalam usaha melumpuhkan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah untuk tahun ini.

“Dalam serbuan sama, kami menahan dua lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kerja memproses syabu dan kedua-dua mereka mempunyai pengalaman dalam aktiviti berkenaan.

“Suspek pertama adalah duda berumur 47 tahun, mempunyai tiga rekod jenayah serta 11 rekod dadah.

“Dia pernah ditangkap bersabit kes makmal dadah haram di Mantin, Negeri Sembilan pada 2016 selain mempunyai kepakaran ‘memasak’ syabu selepas mempelajarinya di Itali dan China,” katanya.

Beliau berkata, suspek kedua berusia 52 tahun mempunyai tiga rekod dadah dan pernah menjalani hukuman penjara 10 tahun di China atas kesalahan memiliki pil ecstasy.

Katanya, suspek kedua yang baru dibebaskan dari penjara pada 2017 berperanan sebagai pembantu dengan membungkus syabu selepas ia siap diproses.

“Kedua-dua suspek memaklumkan mereka baru saja berjumpa di premis berkenaan kurang dari 24 jam dan tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum ini.

“Kedua-dua suspek kini dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula 12 Oktober lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut menyita sebuah kereta dianggarkan bernilai RM3,000 dan wang tunai RM580,” katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan penduduk berhampiran Jalan Meru, Klang panik selepas melihat asap keluar dari premis berkenaan sebelum pihak bomba tiba bagi mengawal api.

Bagaimanapun, sebaik pihak bomba dan polis masuk ke dalam premis berkenaan didapati dua lelaki dalam keadaan khayal dipercayai terhidu bahan kimia yang digunakan untuk memproses syabu.

Berita berkaitan

'Ingatkan gudang terbakar, rupanya...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 4:54 PM
NOOR Azam (tengah) menunjukkan peralatan memproses dadah bernilai RM1.65 juta dirampas pada sidang media di IPK Selangor di Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar.