REBAN menempatkan 700 ayam jantan rentung terbakar di Masjid Tanah. FOTO REZANIZAM ABDUL HAMID
Rizanizam Abdul Hamid


SEBANYAK 700 ayam jantan rentung selepas reban menempatkan haiwan berkenaan hangus di kawasan ternakan ayam di Masjid Tanah, Alor Gajah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam semalam, bomba mengambil masa lebih dua jam memadamkan kebakaran di kawasan ternakan ayam berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamizan Mohd Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.15 malam dan mengarahkan dua jentera, sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah lori tangki air ke lokasi bersama 18 pegawai dan anggota.

“Siasatan awal mendapati, reban ini menempatkan 700 ayam ketika kejadian manakala 6,000 ekor baru dikeluarkan minggu lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, maklumat awal diperolehi daripada pihak pekerja juga mendapati kebakaran bermula di bahagian tengah sebelum merebak ke keseluruhan reban.

Bagaimanapun, ujarnya tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke lima lagi reban bersebelahan walaupun berdepan kesukaran kerana kekurangan sumber air.

“Tiada pekerja cedera dalam kejadian ini dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:32 PM