Risikin menunjukkan barang rampasan hasil penahanan Geng Aho.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


GENG Aho yang aktif mencuri kereta sejak Mac lalu tumpas selepas lima ahli kumpulan itu ditahan dalam serbuan berasingan di Bentong dan Kajang pada 13 dan 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, tangkapan dilakukan dalam operasi khas bermula 9 malam di Bentong, Pahang dan berjaya memberkas tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 40 tahun.

“Susulan penahanan tiga suspek, polis menyerbu sebuah hotel di Kajang sebelum menahan dua lagi lelaki berusia 30 dan 40 tahun.

“Dengan penahanan lima suspek itu, polis berjaya menemui tujuh kenderaan pelbagai jenis yang hilang antaranya Honda Civic, Perodua Myvi, Proton Wira, Honda Accord, Proton Saga, Honda CRV dan Proton Satria,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.

Risikin berkata, pihaknya turut merampas buku cek, kad ‘touch n go’, ‘smart tag’ dan komputer riba.

“Hasil soal siasat mendapati kumpulan ini mengaku terbabit mencuri kenderaan di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Kenderaan curi berkenaan dijual pada harga lebih rendah kepada pembeli di kalangan rakan-rakan dan rangkaian suspek,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak membeli kenderaan tidak sah bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:40 PM