ANGGOTA APM cuba mengumpan biawak seberat 40 kilogram di Kampung Padang Nyior sebelum berjaya ditangkap. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


KEHADIRAN seekor biawak seberat 40 kilogram (kg) yang disangka anak buaya mengejutkan penduduk di Kampung Padang Nyior, Padang Terap, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan kehadiran biawak itu jam 3.20 petang.

Beliau berkata, tiga anggota APM bergegas ke lokasi dan tiba 10 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati biawak berkenaan berada di bawah atap zink lama berhampiran rumah pengadu.

“Anggota mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menenangkan biawak ini sebelum berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shukri berkata, biawak itu antara terbesar pernah ditangkap pihaknya berbanding sebelum ini.

“Haiwan ini kemudian dibawa ke pejabat APM Padang Terap untuk sementara waktu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:02 PM